Jumaat, 28 Ogos 2009

Fakta Tersirat Dalam Menuntut Kemerdekaan




Saban tahun, menjelang Ogos nampaknya kerajaan giat berkempen melalui media cetak dan televisyen sambutan hari kemerdekaan. Tujuannya untuk tanamkan kepercayaan bahawa Umnolah yang mempelopori kemerdekaan. Walhal faktanya palsu...

Usaha terancang begini amat dayus dilakukan oleh kerajaan semata- mata untuk mempengaruhi genarasi muda kini akur bahawa Umno dan pemimpin hari ini adalah kesinambungan pejuang kemerdekaan. Umno cuba menafikan fakta sejarah yang sebenar. Siapa Tunku pada waktu merdeka dulu? Siapa Umno? Macam mana Umno itu ditubuhkan?

Gerakan KMM, PKMM, API dan AWAS juga tidak disebut sebagai pelopor kemerdekaan sedangkan hakikatnya, kumpulan inilah yang mula-mula melaung dan membakar api kemerdekaan.

Ini bukan idea atau sanggahan membabi buta tetapi ia adalah fakta sejarah. Ia tak boleh ditipu. Sejarah tetap sejarah.Umno bukan pelopor kemerdekaan. Umno ditubuhkan untuk menentang
pembentukan Malayan Union. Tidak langsung disebut pada masa itu soal kemerdekaan.

Sebelum itu, telah ada kumpulan tertentu yang bergerak secara tersusun, selepas sahaja tamat Perang Dunia Kedua. Umpamanya penubuhan Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang dipimpin oleh Ibrahim Yaakob. Diikuti penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhamad. Angkatan Pemuda Insaf (API) dipimpin oleh Ahmad Boestamam.

Merekalah yang memulakan gerakan tersusun untuk menentang penjajahan Inggeris di tanahair kita. Inilah golongan yang sebenarnya patut diketahui oleh rakyat dan genarasi kini. Bukannya seperti yag diwar-warkan,
Umno atau Tunku Abdul Rahman. Sebaliknya, orang-orang ini dilupakan langsung. Akibat laungan kemerdekaan
mereka dan keberanian mereka menentang penjajah, maka mereka akhirnya disumbat dalam penjara dan KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan oleh penjajah.


Bila Umno muncul dalam catatan
sejarah sebagai pejuang kemerdekaan?


Selepas pejuang kemerdekaan tulin macam Ibrahim Yaakob, Dr. Burhanuddin, Ishak Haji Muhamad, Ahmad Boestaman dan lain-lain dipenjarakan. Selepas KMM, PKMM, API dan AWAS diharamkan. Barulah mereka muncul. Seolah-olah pemimpin-pemimpin Umno inilah yang beriya-iya mahukan kemerdekaan setelah ruang kosong yang ditinggalkan oleh KMM, PKMM, API dan AWAS. Kita kena tahu, Umno ketika ini adalah anak didik penjajah dan bukan penentang penjajah. Penjajah mengetengahkan Umno sebab hanya Umno yang boleh meneruskan dasar-dasar penjajah.

Mengapa penjajah menentang atau tidak bersengkongkol
dengan kumpulan pejuang gerakan kemerdekaan tulin yang awal?

Inggeris tahu, mereka yang menggerakkan KMM, PKMM, API dan AWAS terdiri dari pejuang kemerdekaan tulin yang tidak mahu bersengkongkol dengan penjajah. Mereka ini tidak dapat diperkotak-katikkan oleh Inggeris.

Jika ditakdirkan mereka ini berjaya memerdekakan tanahair kita, tentu sekali lanskap politik negara kita
tidak seperti hari ini. Selepas diberikan kemerdekaan pada 1957, kita masih dibelenggu dengan pemikiran
penjajah, dasar-dasar penjajah diteruskan, pendidikan penjajah dijalankan, ekonomi penjajah
diperkenalkan dan macam-macam lagi.

Kita diikat oleh penjajah. Dan yang sanggup menjalankan dasar-dasar penjajah ini ialah Umno. Inggeris percaya, jika kemerdekaan diberi kepada pejuang tulin macam Ibrahim Yaakob, dasar-dasar Inggeris tak dapat
berjalan.


Sekarang jelas, sejarah dipalsukan dari segi gerakan menuntut kemerdekaan. Ini kerana Umno yang
diberi kemerdekaan oleh Inggeris telah menggunakan kesempatannya sebagai kerajaan untuk memalsukan sejarah dalam semua aspek. Dokumentasi, buku sejarah dan seumpamanya.


Adakah kita kenal siapa itu Ibrahim Yaakob, iaitu orang yang mula- mula melaungkan kalimah ?merdeka? kepada rakyat untuk mengnyahkan penjajah ketika itu.
Satu kajian yang dibukukan oleh Umno Johor yang mendakwa orang yang mula mempelopori gerakan kemerdekaan tanahair ialah Ibrahim Yaakob. Berpusat gerakanya di Maktab Perguruan Idris, Tanjung Malim.Bagaimana beliau membentuk jaringan dari sini hingga
idea kemerdekaan bertaburan ke seluruh tanahair hingga ke Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak. Ibrahim aktif menanamkan api kemerdekaan dalam kesatuan pelajar di Maktab.

Dari sini, pelajar Brunei, Singapura, Sabah dan Sarawak yang tamat pengajian mereka, bawa balik idea dan perjuangan kemerdekaan ini. Jadi menyeluruh. Di sinilah mula bibit kemerdekaan tercetus. Fakta ini dinafikan oleh Umno yang cuba meletakkan Tunku sebagai Bapa Kemerdekaan. Sebenarnya, Ibrahim Yaakoblah patut dinobatkan Bapa Kemerdekaan sebenar bukan Tunku yang tak tahu apa-apa.
Kita mesti sedar bahawa Umno bukan parti yang mempelopori gerakan kemerdekaan di tanahair kita. Tunku bukan Bapa Kemerdekaan. Semuanya ini kita mesti persoalkan semula secara serius. Bukan main-main.

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini